80 peratus penerima sudah dapat BR1M

KUBANG PASU: Sebanyak 80 peratus penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2018 menerusi akaun bank sudah mula menerima bayaran masing-masing secara berperingkat sejak 26 Februari lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, bayaran kepada penerima bagi fasa pertama dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada penghujung bulan ini.
"Kita turut membuat agihan bayaran menerusi baucar bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank.
"Pada peringkat Kementerian Kewangan, kita sudah selesai agihkan wang kepada agensi berkaitan di negeri-negeri, kita tak mahu ada kelemahan pada peringkat kementerian, cuma kelemahan itu mungkin ada pada peringkat dokumentasi penerima atau kelayakan penerima itu sendiri ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan di Kampung Kuala Kerpan, Sanglang, di sini, hari ini.
Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun, berkata bagi permohonan yang ditolak atau gagal, mereka boleh membuat rayuan dan semakan mulai 1 April hingga penghujung Mei ini.
Katanya, tempoh dua bulan itu diberikan supaya pemohon mempunyai masa yang cukup untuk melakukan rayuan dan proses dokumentasi.
"Sebab itu, pemohon perlu membuat semakan dan mengemas kini maklumat terkini kerana jika mereka rasa masih layak menerima BR1M, maka perlu berjumpa dengan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberikan alasan serta dokumen berkaitan.
"Sekiranya rayuan pemohon diterima, maka kerajaan akan membayar secara sekali gus pada Ogos depan," katanya.
Dianggarkan seramai 7.2 juta rakyat Malaysia menerima BR1M dengan peruntukkan sebanyak RM6.8 bilion pada tahun ini.

sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==