Pacquiao sah bertarung di Malaysia

MANILA: Idola tinju Filipina, Manny Pacquiao berkata dia akan menentang juara dunia, Lucas Matthysse atau Danny Garcia di Malaysia pada Mei atau Jun selepas menolak tawaran bertarung dengan Mike Alvarado.

Pacquiao memberitahu rangkaian televisyen ABS-CBN menerusi wawancara yang disiarkan hari ini bahawa kemnya kini tertumpu untuk menentang sama ada juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA)  Matthysse, dari Argentina, atau bekas juara super-welterweight WBA dan juara welterweight Majlis Tinju Dunia (WBC) Garcia yang memegang rekod tanpa kalah sehingga tahun lalu.
"Sudah pasti kami akan bertarung di Malaysia. Jika tidak Mei, Jun ini, mungkin minggu ketiga Jun, supaya persiapannya tidak mengganggu tugas saya," kata  Pacquiao, yang juga seorang senator.
Pacquiao, 39, minggu lalu menolak tawaran untuk bertinju ketika pertarungan Jeff Horn-Terence Crawford berlangsung di Amerika Syarikat pada April.
Pacquiao, yang memenangi gelaran dunia dalam lapan divisyen berat badan, sebelum ini berkata dia berhasrat untuk bertarung dengan juara superfeatherweight WBO dari Ukraine Vasyl Lomachenko ketika berehat daripada tugasnya sebagai senator.
Ditanya mengapa dia mahu bertarung di Malaysia, Pacquiao berkata "kerana mereka di Malaysia memohon untuk mengadakan pertarungan di sana".
Pacquiao adalah seorang wira di Filipina tetapi persoalan timbul sama ada petinju yang semakin berusia itu mampu menjana pendapatan tinggi seperti zaman kegemilangannya.
Dia kehilangan gelaran welterweight WBO kepada Horn dari Australia minggu lalu, untuk mencatat 59 kemenangan, tujuh kekalahan dan dua seri, dan kini berada di penghujung karier.
Petinju Filipina itu bersara seketika pada 2016 namun kembali untuk merampas gelaran WBO daripada Jessie Vargas beberapa bulan kemudian.
Dia juga gagal meraih kemenangan KO sejak lapan tahun lalu.
Januari lalu, Pacquiao menolak gesaan untuk bersara, menambah dia tidak percaya kekalahannya kebelakangan ini memusnahkan rekodnya.
Dia mempertaruhkan popularitinya untuk dilantik sebagai senator pada 2016 dan perlu mengimbangi latihan dan perlawanan dengan tugas rasminya. - AFP

sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==