Pesanan Nur Balqis dari Terengganu, 'Jangan cari kakak lagi'

KLUANG: "Jangan cari kakak lagi, sekarang dah ada di Terengganu."

Nur Balqis Qurattu Aini Zamri, 19, yang dilaporkan hilang dari rumah sejak kelmarin, menitipkan pesanan itu kepada keluarganya menerusi aplikasi WhatsApp, lewat petang semalam.
Bapanya, Zamri Jusoh, 42, berkata anak ketiga daripada empat beradik yang mesra dipanggil kakak itu, menghantar mesej berkenaan selepas kehilangannya dilaporkan media sejak semalam susulan laporan polis dibuat keluarga.
"Selepas dia hantar mesej itu, kakak terus tak dapat dihubungi.
"Kehilangannya menjadi tanda tanya, macam mana dia sampai ke Terengganu kerana kami tiada saudara-mara tinggal di sana," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Zamri berkata, pesanan ringkas Nur Balqis itu menambahkan kesedihan keluarga terutama isterinya yang bimbangkan keselamatan anak mereka.
"Ayah merayu pada kakak, pulanglah kerana kami semua sayangkan kakak. Apa pun masalah, sebaik-baiknya kita bawa berbincang dan ayah akan ikut semua kemahuan kakak," katanya.
Beliau turut memohon individu yang membawa dan membantu anaknya keluar dari rumah supaya segera memulangkan Nur Balqis ke pangkuan keluarga.
Katanya, mereka tidak akan mengambil tindakan kerana keutamaan kini ialah memastikan remaja itu pulang dengan selamat.
Kehilangan Nor Balqis disedari ibu bapanya ketika pulang ke rumah selepas membeli keperluan harian, kira-kira jam 1.30 tengah hari kelmarin.
Berikutan itu, Zamri bersama isterinya, Rosliza Hussin, 45, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, tengah hari semalam.


Sumber : Berita Harian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==