Barca tak terima hakikat seri

LAS PALMAS: Kapten Barcelona, Andres Iniesta mengakui pasukannya sukar menerima hakikat seri 1-1 kepada pasukan Las Palmas awal pagi ini selepas dua keputusan pengadil tidak memihak pendahulu La Liga itu.





















Pengadil perlawanan Antonio Mateu Lahoz tidak mengambil tindakan terhadap penjaga gol tuan rumah Leandro Chichizola memegang bola ketika keluar daripada kawasannya pada akhir separuh masa kedua yang sepatutnya menyebabkan penjaga gol Argentina itu dibuang padang.
Pengadil itu terus mencetuskan kemarahan pasukan pelawat apabila memberikan Las Palmas penalti awal pada separuh masa kedua selepas bola terkena lengan  Lucas Digne, membolehkan Jonathan Calleri membatalkan sepakan percuma Lionel Messi sebelum itu.
Keputusan seri itu membolehkan Barca hanya mendahului lima mata berbanding pencabar terdekatnya Atletico Madrid sebelum perlawanan menentang anak buah Diego Simeone di Nou Camp awal pagi Isnin.
"Saya sentiasa katakan tugas pengadil memang sukar tetapi pada separuh masa pertama kami menyaksikan dengan jelas penjaga gol mereka menyentuh bola dan ini membuatkan kami tersinggung," kata Iniesta.
"Las Palmas mempamerkan aksi hebat hari ini dan kami kelihatan tumpul pada babak akhir perlawanan untuk menewaskan mereka.
"Namun kami masih di puncak liga biarpun kelebihan kami semakin berkurang dan keputusan ini tidak akan mengubah mentaliti kami."
Malah sebaik wisel penamat berbunyi pemain gantian Barca, Gerard Pique berlari ke arah pengadil perlawanan dalam keadaan marah dan terpaksa dihalang, begitu juga jurulatih Ernesto Valverde yang turut hilang sabar apabila Chichizola terlepas hukuman.
"Penalti itu memang mengejutkan kami apabila melihat bagaimana ia diberikan," kata Valverde.
"Kami rasa mereka menyamakan kedudukan dengan penalti 'ghaib', mereka semakin kuat selepas itu dan kami kelihatan tergesa-gesa." - Reuters


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==