Kerajaan BN penyelesai masalah rakyat

KUALA NERUS: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan saja menepati janji, tetapi juga penyelesai masalah rakyat.






















Perdana Menteri berkata, ia sama sekali berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu menabur fitnah, menyebar berita palsu dan mengapi-apikan rakyat.
"Pembangkang hanya tahu cakap kosong saja, tetapi gagal dalam memberi penyelesaian terhadap masalah rakyat.
"Berbeza dengan kerajaan BN, misalnya jika dilontarkan isu kos sara hidup, jawapannya ada di Ekspo Terengganu 2018 dengan Jualan Sentuhan Rakyat yang menawarkan barang keperluan seperti daging, ikan, minyak masak, gula dan Milo pada harga murah.
"Kita tidak akan hentikan setakat di jualan ekspo ini saja. Saya sudah arahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya teruskan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Ekspo Terengganu 2018 di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, di sini, hari ini, yang dihadiri lebih 50,000 orang pengunjung.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
Najib berkata, kerajaan BN juga menyelesaikan masalah rakyat terutama di kawasan luar bandar yang terhimpit dengan kos pengangkutan.
Contohnya, penduduk perlu membayar sehingga RM10 jika menaiki teksi untuk ke bandar.
"Kini, kerajaan menyediakan alternatif pengangkutan lebih murah dengan kemudahan bas elektrik yang tambangnya serendah RM1.30 untuk ke bandar," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga memberi pelbagai bantuan untuk nelayan, petani, imam, bilal dan ketua kampung.
"Orang letih hendak hadir ceramah politik, habiskan beras saja. Tetapi kalau datang ekspo ini, macam-macam ada. Terengganu molek doh!," katanya.
Najib berkata, rakyat patut memberi BN mandat lebih besar kerana banyak projek untuk kepentingan rakyat sedang dijalankan antaranya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Projek ECRL menawarkan sehingga 3,000 peluang pekerjaan dan apabila siap kelak, ia akan membuka sehingga 30,000 peluang pekerjaan. Ini yang kita lakukan untuk rakyat," katanya.
Najib berkata, Terengganu adalah satu contoh negeri yang komited dalam menurunkan kadar kemiskinan tegar.
"Masalah miskin tegar ini sudah sifar di Kemaman dan selepas ini daerah lain pula. Siapa kata (Terengganu) ini negeri bankrap, teruk di bawah BN... itu semua tipu, mengarut, melalut.
"Sebagai kerajaan, kita sentiasa mahu berikan perubahan dan ia memerlukan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri. Kedua-duanya mesti diterajui BN.
"Untuk mencapai semuanya bukan datang sekelip mata atau datang bergolek, tetapi kita kena rancang dan laksanakan dengan kemampuan kita dan letakkan orang yang betul di tempat yang betul," katanya.
Sementara itu, Ahmad Razif mengumumkan Ekspo Terengganu 2018 yang bermula 25 Februari lalu, dilanjutkan sehingga esok berikutan sambutan menggalakkan.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==