'Wan Azizah tak patut cakap sudah selesai'

SHAH ALAM: Agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (PH) Pakatan Harapan di Selangor masih belum muktamad seperti yang didakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
























Sumber berkata, Dr Wan Azizah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan perbincangan agihan kerusi DUN di Selangor masih belum selesai.
"Macam mana Dr Wan Azizah boleh katakan rundingan kerusi DUN selesai. Kenyataan beliau boleh menimbulkan kekeliruan rakan sekutu PH," katanya kepada BH di sini, hari ini.
Kelmarin, Dr Wan Azizah berkata, PH sudah menyelesaikan rundingan berhubung agihan kerusi DUN dan Parlimen semua negeri, kecuali Sabah.
Sebelum ini, BH Online melaporkan rundingan PH untuk mengagihkan kerusi DUN Selangor yang dijalankan sejak sebulan lalu masih buntu.
Sumber berkata, perbincangan agihan kerusi ketika ini hanya membabitkan 25 daripada 56 kerusi DUN yang disandang Barisan Nasional (BN) dan PAS.
BH Online turut melaporkan berdasarkan keputusan awal rundingan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (10), dan Parti Amanah Negara (PAN) (sembilan), namun ia dibantah PPBM dan PAN.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin, berkata parti itu kekal dengan pendirian untuk bertanding kerusi yang disandang BN.
Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Melawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.
PAN pula bertegas mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Klang.
ADUN Hulu Klang, Saari Sungib, dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin bagaimanapun keluar PAS untuk menyertai PAN.
Ketika ini, DAP menyandang 14 kerusi DUN Selangor, PKR (13), PAS (13), BN (12) dan PAN (dua) dan Bebas (dua).
Dua ADUN Bebas ialah Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Teluk Datuk, Loh Chee Heng yang sebelum ini dari DAP.



Sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==