Dr Mahathir berterusan salahkan ROS

JOHOR BAHRU: Tun Dr Mahathir Mohamad berterusan menyalahkan kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung isu pendaftaran parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sedangkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri, UMNO juga pernah diharamkan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamad, berkata tindakan ROS adalah adil dan mengikut perlembagaan, malah kes pendaftaran PPBM dibuat berdasarkan aduan ahli parti itu sendiri.


Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PPBM, sebagai `bapa berita palsu' apabila berterusan menyalahkan dan membuat berita tidak benar mengenai tindakan ROS.
"Dr Mahathir kata ROS bersikap biased (berat sebelah) dan tidak adil dalam meluluskan pendaftaran PPBM walaupun kes ini sebenarnya tindakan mahkamah yang dibawa oleh mereka (ahli parti) sendiri," katanya pada sidang media selepas melawat program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Pulai, di Medan Selera Taman Cempaka di sini, hari ini.
Nur Jazlan berkata, Dr Mahathir perlu sedar apa yang dia dilakukan sehingga UMNO diharamkan pada tahun 1988 ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden UMNO.
Tambah beliau, perkara sama kini berulang apabila PBBM gagal didaftarkan selepas ROS mendapat pelbagai aduan daripada ahli parti itu sendiri.
"Saya tak mahu komen lebih lanjut lagi, cuma saya nak kata, ada suatu ketika dulu bila dia menjadi Perdana Menteri (iaitu) pada tahun 1988, UMNO diharamkan kerana aduan daripada beberapa cawangan mengenai kelakuan mesyuarat agung di cawangan, aduan dibuat di cawangan tetapi yang terjejas adalah UMNO pusat.
"Saya nak ingatkan Dr Mahathir, siapa Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, siapa yang mengarahkan ROS untuk bertindak berpihak kepada UMNO. Pada ketika itu UMNO dinyah daftarkan dan ditubuhkan serta didaftarkan semula. Dia Perdana Menteri (pada masa itu) dan menteri bertanggungjawab pada ROS.
"Saya tahu pasal arwah bapa saya adalah bekas Setiausaha UMNO pada ketika itu. Jadi, bagi saya, kadang-kadang ada perkara yang dinyatakan oleh Dr Mahathir ini semata-mata bersikap popular, maknanya dia juga adalah bapa kepada fake news (berita palsu), dia yang buat fake news.
"Bila dia kata ROS bersikap biased, bagi saya dia lupa apa yang dia buat 30 tahun dahulu ketika UMNO dinyah daftarkan, ROS sebenarnya menjalankan kerja secara adil dengan mengambil kira kepentingan ahli PPBM," katanya.
Sebelum ini Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, dilaporkan berkata, notis pembubaran akan dikeluarkan jika PPBM gagal menyerahkan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta penyata kewangan parti dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa 28 Februari lalu.
Notis itu dikeluarkan berikutan aduan ahli PPBM kepada ROS, yang memerlukan maklumat itu untuk melengkapkan siasatan.


sumber: bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==