Pemain Indonesia paling laris di Malaysia

KUALA LUMPUR: Negara jiran, Indonesia menjadi negara Asia Tenggara paling 'laris' selepas lima pemain dari republik itu beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
























Bekas pemain Selangor, Andik Vermansyah menjadi satu-satunya pemain Garuda yang terus kekal bersaing di Malaysia apabila menyertai juara Piala FA 2017, Kedah selepas kontraknya tidak disambung oleh Red Giants musim ini.
Bagaimanapun, Selangor meneruskan tradisi untuk 'mengimport' pemain dari Indonesia apabila berjaya mengikat dua tonggak muda Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn sekali gus menjadi satu-satunya pasukan yang mendapat dua pemain dari satu negara ASEAN yang sama bagi musim 2018.
Dua lagi pemain Indonesia yang beraksi dalam Liga Super musim ini adalah pertahanan Kuala Lumpur, Achmad Jufriyanto dan bekas penyerang Persib Bandung, Ferdinand Sinaga yang menyertai jaguh Pantai Timur, Kelantan.
Sementara itu, Singapura dan Kemboja berkongsi tempat kedua apabila empat pemain dari negara itu menarik minat beberapa pasukan dalam Liga Super dengan ada antara pemain terbabit menyertai pasukan yang sama.
Pemain tengah bertahan, Harris Harun kekal bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Shahdan Sulaiman menyertai Melaka United, Pahang mendapatkan khidmat Safuwan Baharuddin sementara Faris Ramli mengisi kuota import ASEAN bagi PKNS FC.
Turut menyertai Safuwan dalam skuad Tok Gajah adalah bekas penyerang Boeung Ket Angkor, Chan Vathanaka, Keo Sokpheng menyertai pendatang baharu Liga Super, PKNP FC sementara pemain kacukan Perancis-Kemboja, Bin Chanthacheary menabur khidmat bersama Terengganu FC (TFC).
Bekas pemain sayap Preah Khan Reach Svay Rieng FC, Prak Mony Udom menjadi pemain Kemboja terakhir ke negara ini selepas menyertai Negeri Sembilan pada saat akhir bagi menggantikan pemain import dari Singapura, Madhu Mohana yang digugurkan susulan kecederaan serius.
Dua pemain dari Filipina turut menyertai kancah Liga Super musim ini iaitu pemain pertahanan Kedah, Alvaro Silva dan pemain sayap Perak, Misagh Bahadoran.

Secara keseluruhan, 15 pemain Asia Tenggara didaftarkan musim ini susulan pengenalan import kelima yang diperkenalkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dengan semua 12 pasukan boleh mengambil import dari ASEAN untuk pasukan masing-masing.



sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==