PARIS: Cristiano Ronaldo dan Casemiro masing-masing menjaringkan gol buat Real Madrid ketika juara bertahan itu menang 2-1 di Paris Saint-Germain yang kehilangan Neymar seterusnya memastikan tempat di suku akhir Liga Juara-Juara sebentar tadi.
Ronaldo juga menjaringkan dua gol - termasuk jaringan ke-100 buat Real dalam kejohanan itu - ketika mereka menang 3-1 pada perlawanan pertama di Sepanyol bulan lalu, dan tandukannya pada awal babak pertama di Parc des Princes tampak menamatkan harapan kelab Perancis itu untuk layak.
Edinson Cavani menyamakan kedudukan buat PSG, tetapi selepas Marco Verratti dibuang padang dan jaringan lewat Casemiro, memastikan kemenangan 5-2 secara agregat buat skuad kendalian Zinedine Zidane.
PSG tampak tidak mampu menukar keputusan pertemuan itu selepas kehilangan Neymar, dan ia sesuatu yang amat mengecewakan apabila terkeluar dari saingan itu.
Ketika mereka tersingkir, impian Real untuk menjadi pasukan pertama dalam tempoh lebih 40 tahun menang tiga kejohanan utama Eropah berturut-turut masih kekal.
Setahun selepas tumbang di tangan Barcelona pada kelompok 16 terakhir, apabila mereka dimalukan 6-1 di tempat lawan selepas menang selesa 4-0 di laman sendiri, PSG berharap mereka mampu bangkit pada kali ini.
Begitupun tanpa pemain termahal dunia yang kembali ke Brazil untuk pembedahan kaki, mereka bergelut untuk mencipta peluang dan malam tadi juga diingati dengan kebodohan sebahagian penyokong mereka. - AFP
sumber : bharian