Bapa gadai nyawa selamatkan dua anak

BALING: Seorang bapa bergadai nyawa mendukung dan memapah dua anaknya terjun dari pintu rumah setinggi 1.5 meter, bagi menyelamatkan diri mereka daripada kebakaran kediaman sewa di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Isahak Harun, 60, bersama anaknya, Muhammad Syafii Ikmal, 13, dan Nuraida, 10, terpaksa bertindak pantas apabila kebakaran bermula dari salah sebuah bilik tidur dan merebak ke ruang tamu.
Ketika insiden, Isahak berkata, beliau sedang bersiap bagi menunaikan solat subuh, manakala anaknya ingin mandi untuk ke sekolah, sebelum mereka terkejut melihat api merebak dengan cepat.
Beliau yang bekerja mengambil upah membuat rumah berkata, mereka kini tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan, malah wang tunai RM2,500 turut hangus dalam kebakaran itu.
"Saya sempat menjerit meminta pertolongan jiran memadam kebakaran menggunakan air paip tetapi gagal kerana api merebak dengan cepat, sebelum menghubungi pihak bomba," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Aman Jaya yang tiba tidak lama kemudian, berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.
"Saya tinggal di rumah sewa ini bersama dua anak dan isteri, Jamilah Abdullah, 40, sejak kira-kira tujuh tahun lalu. Namun hari ini, isteri tiada di rumah kerana pulang ke Thailand atas urusan keluarga.
"Syukur, kami anak-beranak terselamat tetapi sedih kerana semua barangan, termasuk peralatan persekolahan anak musnah mengakibatkan anggaran kerugian RM8,000.
"Selepas ini, kami terpaksa menyewa rumah lain. Saya juga buntu kerana perlu membeli semua barangan baharu dan peralatan persekolahan anak yang tentu menelan perbelanjaan besar sedangkan pendapatan tidak menentu," katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi BBP Sungai Petani, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Anwarzaini Zakaria, berkata seramai 11 anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Ketil dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba jam 6.50 pagi.
"Api berjaya dikawal 15 minit kemudian dan kebakaran menyebabkan rumah terbabit musnah 80 peratus. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
"Bagaimanapun, kebakaran berkemungkinan akibat sistem pendawaian elektrik yang sudah lama berikutan rumah terbabit sudah berusia 35 tahun," katanya.



sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==