Neelofa profesional di lokasi - Pengarah

KUALA LUMPUR: Kontroversi hebat melanda pelakon yang juga pengacara sensasi, Neelofa, tidak menghalang beliau melunaskan baki penggambaran drama bersiri, Ti Amo Sweetheart 100 Hari, dengan baik.

Perkara itu diakui sendiri oleh pengarahnya, Michael Ang, yang sebelum ini sudah beberapa kali bekerja dengan wanita turut bergelar usahawan terkenal itu.
Menurut Michael, Neelofa memberikan kerjasama terbaik dalam melangsaikan penggambaran naskhah yang diangkat daripada novel tulisan Suri Ryana terbabit.
"Neelofa seorang yang sangat profesional dan masih boleh bekerja macam biasa. Bahkan, dia kelihatan ceria saja di lokasi penggambaran.
"Dia sememangnya seorang pelakon yang tahu apa boleh ditunjukkan di lokasi dan sebaliknya," kata pengarah terbabit kepada BH Online.
Cuma kata Michael, ketika berborak kosong di belakang kamera, Neelofa mengaku terkilan dengan kontroversi yang berlaku.
Baru-baru ini, Neelofa menjadi bualan hangat kalangan netizen termasuk golongan agama apabila bertindak melancarkan koleksi tudungnya di sebuah pusat hiburan terkemuka di ibu kota.
"Sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Begitu juga dengan Neelofa," katanya yang sebelum ini bekerjasama dengan pelakon itu menerusi Suri Hati Mr Pilot.
Bercerita lanjut mengenai drama lima episod yang julung kali menggandingkan Neelofa dan Zul Ariffin itu, Michael mengakui, kedua-duanya dengan mudah mencipta keserasian.
Dalam drama terbabit, kedua-duanya berlakon sebagai pasangan suami isteri yang terpisah, selain berdepan konflik kehilangan anak yang diculik.
"Memang kebanyakan pelakon akan mengambil sedikit masa untuk mencipta keserasian. Ia bukanlah perkara asing dalam lakonan.
"Seperti juga Zul dan Neelofa, mereka agak janggal untuk beraksi di depan kamera pada hari pertama penggambaran diadakan. Apatah lagi tidak banyak babak membabitkan mereka berdua ketika itu. Namun, masuk saja hari kedua dan seterusnya, mereka mula mendapat rentak dan selesa berlakon bersama," katanya.

sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==