Institusi sosial kukuh bantu jayakan TN50

Makalah ini satu analisis sosiologikal mengenai usaha pengukuhan institusi sosial untuk menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang meliputi tempoh masa 30 tahun dari 2020 sehingga 2050.























Kerajaan menzahirkan TN50 bertujuan menjadikan Malaysia negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi pada 2050.
Cabaran utama bagi merealisasikan TN50 ialah pengukuhan institusi sosial yang perlu bermula sekarang dengan mengambil kira status semasa pelbagai isu dan cabaran dihadapi masyarakat Malaysia yang multietnik sifatnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menekankan bahawa Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan pada 2010 meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencapai Wawasan 2020.
Pelaksanaan TN50 untuk menyediakan Malaysia menghadapi perubahan dunia yang mencabar dengan pertambahan penduduk dunia, migrasi, kewujudan bandar raya mega dan kemajuan sains teknologi yang mengurangkan keperluan tenaga kerja manusia.
Dalam usaha memastikan TN50 mencapai matlamatnya pada 2050, perlu untuk kita mengupas cabaran dalam pengukuhan institusi sosial kerana ia membina hubungan masyarakat untuk menjayakan sesuatu dasar negara.
Oleh itu, peranan institusi sosial seperti institusi agama, keluarga, pendidikan, ekonomi, politik dan keselamatan perlu diberi perhatian dalam menjayakan Dasar TN50. Kelemahan mengurus institusi sosial boleh melambatkan usaha kerajaan dalam merealisasikan Dasar TN50.
Pertama, institusi agama memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat untuk membina hubungan sesama manusia. Tanpa institusi ini, masyarakat sukar hidup bersatu dalam suasana aman dan damai.
Institusi agama memainkan peranan membentuk persefahaman masyarakat untuk saling menghormati dan bekerjasama dalam memastikan sistem sosial yang stabil.
Pemimpin agama juga mempunyai tanggungjawab memastikan penganut agama sentiasa menjalani kehidupan berasaskan ajaran agama, terutama nilai kesederhanaan.
Perpaduan nasional kunci jayakan TN50
Perpaduan nasional kunci dalam menjayakan TN50 agar generasi muda sekarang perlu mengambil tanggungjawab mulia ini.
Pelbagai program mengenai persefahaman dan dialog antara agama perlu dipergiatkan, khususnya pada peringkat sekolah dan universiti serta kawasan kejiranan.
Keluarga adalah institusi sosial yang penting dalam kehidupan masyarakat, peranan ibu bapa memastikan anak menerima pendidikan yang baik dan menjadi manusia yang boleh menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Isu sosial dalam keluarga seperti keganasan rumah tangga, perceraian dan penderaan kanak-kanak perlu diberikan perhatian.
Pelbagai isu sosial ini menjadi semakin kompleks dengan penggunaan teknologi baharu dalam kehidupan manusia dan masyarakat.
Dasar Sosial Malaysia dan Dasar Belia Malaysia yang digubal memainkan peranan dalam mengukuhkan institusi sosial dalam kehidupan masyarakat.
Institusi pendidikan juga penting dalam membentuk identiti warga negara dengan penerapan ideologi nasional, iaitu Rukun Negara amat penting bagi memastikan generasi muda memahami tanggungjawab mereka sebagai warga negara.
Peranan guru pula amat penting dalam memastikan pelajar menerima pendidikan yang menyeluruh, bukan berasaskan gred semata-mata. Penguasaan ilmu amat penting kerana ia akan menjadi kayu ukur mencapai TN50.
Sistem pendidikan juga perlu mengambil kira kepentingan sains dan teknologi dengan menyediakan kemudahan infrastruktur dan infostruktur seperti perpustakaan, bilik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), makmal sains lebih kondusif di sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman.
Keutamaan yang diberikan kepada sekolah bandar akan melebarkan jurang ilmu dan digital bagi pelajar sekolah luar bandar dan pedalaman.
Institusi ekonomi juga penting bagi memastikan masyarakat hidup dalam suasana yang baik.
Tangani isu kemiskinan
Negara kita berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dengan pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan sejak 1970-an sehingga kini. Isu kemiskinan bandar ialah cabaran baharu yang perlu ditangani khususnya membabitkan generasi muda.
Pemerkasaan institusi ekonomi penting dan perlu mengambil kira isu kos sara hidup yang semakin tinggi dan memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.
Bagi membawa masyarakat menuju 2050, pelbagai isu ekonomi ini penting untuk diberikan perhatian kerana ia membabitkan kelangsungan dan kebahagiaan keluarga.
Institusi politik juga penting dalam membangunkan masyarakat dan negara serta memastikan penyertaan ahli masyarakat dalam membuat keputusan.
Institusi politik membabitkan pembentukan dan penguatkuasaan undang-undang dengan kerajaan turut merencana pelbagai dasar untuk pembangunan masyarakat dan negara.
Dalam hal ini, pembabitan masyarakat amat penting untuk memastikan sesuatu organisasi sosial dalam sistem politik berinteraksi berasaskan undang-undang.
Kesimpulannya, pengukuhan institusi sosial perlu bermula sekarang dengan mengambil kira matlamat pelbagai dasar sedia ada.
Pelaksanaan dasar perlu sentiasa dipantau secara berkala dan status semasa pencapaian dasar itu perlu disebarkan untuk pengetahuan masyarakat, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar mereka dapat merencana program bersesuaian dan terarah.
Semua dasar sedia ada perlu semakan untuk merencana matlamat pembangunan ke arah merealisasikan TN50.
Justeru, pelbagai isu kontemporari dalam masyarakat perlu ditangani dan ditadbir urus dengan baik agar perancangan TN50 lebih bersepadu.
Ringkasnya, apabila institusi sosial kita mulai kukuh dan berfungsi, ia secara langsung akan menjayakan TN50 dengan syarat pembabitan aktif setiap lapisan masyarakat.
Penulis adalah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==