KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa mendakwa kontroversi majlis hari jadi dan pelancaran koleksi tudung Be Lofa di pusat hiburan Zouk di sini, malam semalam diperbesarkan oleh mereka yang tidak berada di lokasi berkenaan.
Neelofa berkata, tetamu acara itu lebih tahu situasi sebenar di mana premis terbabit berubah daripada sebuah kelab kepada ruang acara pelancaran produk.
"Saya tak apa-apa pun (dengan tohmahan) kerana tahu apa yang saya lakukan. Tempat itu sendiri sudah ditukar dari pusat hiburan ke lokasi acara.
"Malah, tiada alkohol pun dihidangkan. Sesiapa yang ada di situ tahu kisah sebenar. Orang yang tiada di sana pula melebih-lebih," katanya ketika dihubungi hos gandingannya dalam rancangan Meletop, Nabil Ahmad pada siaran langsung program itu, malam ini.
Dalam program itu, perbualan Neelofa dan Nabil diperdengarkan kepada penonton.
Neelofa memberitahu, dia tidak dapat muncul dalam program itu disebabkan perlu menjalani suatu latihan. Tempatnya digantikan pelakon dan pelawak, Sherry Alhadad.
Sementara itu, strategi pemasaran koleksi tudung terbaharu Naelofar 'menjadi' apabila stok dikatakan kehabisan.
Tinjauan di laman web Naelofar Hijab mendapati, semua 45 warna yang dihasilkan untuk koleksi yang dijual pada harga RM73 dan RM75 itu sudah habis terjual atau 'sold out'.
Satu lagi koleksi dilancarkan iaitu Be Lofa Shawl, bagaimanapun tidak dijual atas talian.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada turban itu masih boleh didapati di kedai atau stokis Naelofar Hijab di seluruh negara.
sumber : bharian