80 hingga 90 peratus terima BR1M Jumaat ini

PUTRAJAYA: Kira-kira 80 hingga 90 peratus penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijangka menerima bayaran pertama bantuan berkenaan Jumaat ini.





















Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata bantuan itu akan dimasukkan dalam akaun penerima secara berperingkat dan yang belum menerima BR1M, kami harap mereka bersabar menunggu hingga akhir minggu ini.
"Kami jangka sekitar 80 hingga 90 peratus penerima BR1M akan menerima wang masing-masing Jumaat ini, sesiapa yang mempunyai masalah mengenai BR1M boleh menghubungi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan perkara berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, memaklumkan BR1M mula diagihkan kepada penerima bermula Isnin lalu, di mana tujuh juta rakyat layak menerimanya, membabitkan peruntukan kira-kira RM6.3 bilion.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan isu membabitkan Robert Kuok.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah memberi penjelasan mengenai isu berkenaan dan beliau menghargai sumbangan bilionair berkenaan kepada Malaysia selama ini.
"Kita hidup dalam negara berbilang kaum dan semua kaum sudah memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan ekonomi negara, isu berkenaan sebenarnya sudah dipolitikkan dan ia tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini ," katanya.
Sementara itu, Johari turut menyangkal laporan sebuah portal yang mendakwa beliau dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor jika Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata senarai calon untuk bertanding hanya akan ditentukan oleh Presiden parti.
"Saya adalah Ahli Parlimen Titiwangsa iaitu kawasan Wilayah Persekutuan, bagaimana nama saya disebut? (sebagai calon Menteri Besar Selangor), ia perlu diberikan kepada pemimpin Selangor.
"Sebagai wakil BN, pencalonan pada PRU-14 adalah tertakluk kepada keputusan Presiden parti, kita tidak ada kuasa untuk memutuskan siapa yang akan bertanding pada PRU," katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==