LONDON: Liverpool melebarkan rekod tanpa kalah di laman sendiri dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 16 perlawanan dan mendaki ke tangga kedua liga susulan kemenangan 4-1 ke atas West Ham United di Anfield, sebentar tadi.
Pemain bintangnya, Mohammad Salah sekali lagi menampilkan prestasi mengagumkan apabila turut menyumbang satu gol untuk menambah jumlah jaringannya kepada 31 gol musim ini dalam semua kejohanan.
Pemain kelahiran Mesir itu turut mencipta peluang buat jaringan pembukaan Liverpool yang disempurnakan Emre Can pada minit ke-29 menerusi tandukan.
Salah kemudian menjadikan kedudukan 2-0, enam minit selepas babak kedua bersambung apabila bijak menggelecek pemain lawan sebelum melepaskan rembatan jarak jauh cantik dari jarak 10 meter yang memperdaya penjaga gol West Ham, Adrian.
Pemain Brazil, Roberto Firmino menambah kelebihan The Reds pada minit ke-57.
West Ham cuba bangkit apabila pemain gantian, Michail Antonio merapatkan jurang pada minit ke-59 tetapi kebangkitan itu pantas dimatikan Liverpool menerusi jaringan Sadio Mane pada minit ke-77.
Sementara itu, Newcastle mensia-siakan kelebihan mendahului 2-0 sehingga 10 minit terakhir perlawanan untuk seri 2-2 dengan Bournemouth.
Selepas Dwight Gayle meledak dua gol pada babak pertama bermula pada minit ke-17 diikuti gol kedua pada minit ke-45, Bournemouth bangkit menerusi jaringan Adam Smith pada minit ke-80 diikuti gol Dan Gosling, seminit sebelum permainan berakhir.
Sementara itu, Brighton & Hove Albion mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Swansea untuk kelab dari Wales itu kekal di zon penyingkiran.
Dalam pada itu, kelab tercorot liga, West Bromwich Albion terus dipalit duka apabila tewas 2-1 kepada Huddersfield Town manakala Burnley dan Southampton terikat 1-1. - REUTERS
sumber : bharian