Kakitangan PBB mogok di Geneva

GENEVA: Kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mogok dengan berhenti bekerja selama dua jam semalam disebabkan pemotongan gaji 'tidak adil' sehingga menjejaskan beberapa acara tahap tinggi yang dihadiri Setiausaha Agung dan beberapa menteri kerajaan.























Mogok itu berlangsung dari jam 3.00 petang hingga jam 5.00 petang, ia memaksa badan hak asasi manusia tertinggi PBB menangguhkan sebuah panel yang menampilkan ketua hak asasi dan presiden Perhimpunan Agung selama sejam.
Selepas Setiausaha Agung Antonio Guterres memberi ucapan dalam Persidangan Pelucutan Senjata, jurubahasa meninggalkan bilik itu dan tetamu yang hadir memilih untuk bercakap dalam bahasa Inggeris sahaja daripada membatalkan mesyuarat terbabit.
Masih tidak jelas berapa ramai daripada kira-kira 9,500 kakitangan PBB di Geneva yang benar-benar berhenti bekerja, namun ratusan orang berkumpul pada permulaan mogok berhampiran Majlis Hak Asasi Manusia PBB untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati berhubung pemotongan gaji yang berkuatkuasa pada minggu lalu.
Kakitangan PBB Geneva menerima penyata gaji pertama mereka menunjukkan pemotongan gaji 3.5 peratus dan mengetahui pemotongan itu akan meningkat kepada lima peratus menjelang Jun ini, kata ketua kesatuan kakitangan PBB di Geneva, Ian Richards. - AFP


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==