Kambing jantan 'naik angin'

KUALA PILAH: Seorang wanita nyaris disondol seekor kambing jantan ketika sedang mengambil barang dalam kereta di hadapan rumahnya di Kampung Gentam di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, wanita dikenali sebagai Mysha, 45, pegawai operasi di sebuah syarikat swasta di daerah ini, yang baru pulang dari bekerja, meletakkan kereta di depan rumah.
Dia kemudian keluar kereta dan mengambil barang yang diletak di tempat duduk penumpang hadapan sebelum terdengar bunyi haiwan dari arah belakang.
"Apabila menoleh, saya melihat seekor haiwan yang disangka babi hutan, meluru ke arah saya.
"Saya masuk semula ke dalam kereta dan melompat ke tempat duduk pemandu sebelum menyedari haiwan itu adalah kambing.
"Saya kemudian membuka pintu kereta di bahagian pemandu dan melarikan diri ke dalam rumah. Selepas itu, saya melihat kepala kambing tersangkut pada stereng kereta," katanya ketika dihubungi, malam ini.
Mysha kemudian cuba mengeluarkan kambing itu tetapi gagal yang menyebabkannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.
Kambing itu berjaya dikeluarkan oleh anggota APM tidak lama selepas itu.
Sementara itu, jurucakap APM berkata, seramai tiga anggotanya dihantar ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 3.40 petang.
"Anggota kami mengambil masa tiga minit untuk mengeluarkan kambing yang tersangkut di stereng kereta," katanya.


sumber : bharian

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==