PASIR MAS: Pakatan Harapan (PH) tidak menafikan parti itu memerlukan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menarik sokongan orang Melayu.
Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohammad Sabu, berkata kekuatan PH sudah ada, namun pengaruh yang dimiliki Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, dilihat mampu menarik sokongan yang memungkinkan PH menang.
"Kekuatan itu sudah ada di kawasan Melayu sebab 'gerrymandering' (penyusunan semula) sudah melonggokkan orang bukan Melayu di satu tempat dan Melayu di satu tempat.
"Kalau orang Melayu tidak berubah banyak, maka kami sukar untuk mencapai kemenangan. Oleh itu kami nampak Tun Dr Mahathir masih ada sedikit upaya untuk diberi keyakinan oleh orang Melayu terutama dari segi pemikiran yang ditanam iaitu kalau PH menang, (Lim) Kit Siang akan jadi Perdana Menteri.
"Dengan kemunculan Tun Dr Mahathir, fahaman itu meresap di kalangan masyarakat Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat PAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Mohammad mengharapkan sokongan Tun Dr Mahathir dapat mengubah mentaliti orang Melayu dengan kekuatan PH yang sudah sedia ada dan bergantung antara satu sama lain.
Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya budaya 'cah keting' dalam PH, Mohammad berkata itu adalah perkara biasa dan bergantung kepada pasukan perunding yang akan membuat keputusan.
"Itu perkara biasa sebab mereka lebih percaya ada keupayaan untuk menang, mana-mana parti memang begitu.
"Bila sudah berunding dan selesai, saya yakin mereka akan ikut keputusan seperti yang sudah berlaku di Johor, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.
"Bila sudah selesai, mana-mana parti termasuk PAN akan cuba mematuhi keputusan yang ditetapkan," katanya.
sumber : bharian