Kebakaran hutan di Indonesia tidak jejas Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terjejas dengan pencemaran asap dan jerebu sekiranya berlaku kebakaran hutan di Indonesia, kerana negara sedang mengalami musim monsun timur laut.




















Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keadaan arah utama angin ketika ini tidak menghala ke Malaysia, sebaliknya bertiup dari timur laut.
"Negara masih mengalami Monsun Timur Laut sehingga Mac ini, yang mana arah angin bertiup dari timur laut. Sekiranya berlaku kebakaran hutan di Indonesia dalam tempoh ini, ia tidak beri kesan kepada negara kerana arah angin tidak menghala ke sini.
"Merujuk laman sesawang Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC), terdapat sembilan titik panas (hotspot) dikesan di Indonesia iaitu, lapan di Sumatera (lima darinya di Riau) dan satu di Kalimantan.
"Terdapat tiga titik panas dikesan dalam negara, masing-masing di Kelantan, Pahang dan Sarawak." katanya dalam kenyataan, hari ini.
Di wilayah Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, kini diletak di bawah amaran bencana selepas peningkatan titik panas berpunca daripada kebakaran hutan.
Wan Junaidi berkata, berdasarkan perbandingan jumlah titik panas di bagi tahun 2017 hingga 20 Februari 2018, menunjuk peningkatan jumlah titik panas di Indonesia.
"Di Sumatera, dari 102 titik panas pada 2017 meningkat kepada 122 titik panas pada tahun ini, manakala di Kalimantan pula dari 53 titik panas kepada 134 titik panas,
"Berdasarkan komitmen Indonesia di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP), mereka sudah bertindak secara lebih proaktif dan bersiap siaga lebih awal untuk menangani kebakaran hutan berbanding sebelum ini.
"Buktinya negara tidak mengalami kejadian jerebu merentas sempadan sejak dua tahun lalu." katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==