Melaka terima RM300 juta laksana ORS

AYER KEROH: Kerajaan Melaka menerima peruntukan RM300 juta untuk projek pembinaan sistem takungan air atau 'Off River Storage' (ORS) bagi menangani keperluan bekalan air bersih dalam jangka panjang.











Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata projek menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan itu berupaya menampung keperluan bekalan air penduduk di negeri ini sehingga tahun 2020.
Beliau berkata, projek ORS yang bakal dibangunkan di Masjid Tanah, Alor Gajah, di sini, berupaya menampung sehingga 500 juta liter sehari pada masa akan datang selaras dengan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
"Kita (kerajaan negeri) memerlukan bekalan air tambahan sehingga 310 juta liter sehari pada tahun 2020, namun sistem ini (ORS) mampu menampung sehingga 500 juta liter sehari.
"Jadi, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) diminta supaya segera menjalankan kajian ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan sekitar Masjid Tanah, Kuala Linggi serta Lubuk China bagi tujuan kemajuan ORS.
"Ini kerana, kita mempunyai rencana (rancangan) untuk membina Empangan Air Sungai Jernih di Taboh Naning yang ditangguh sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan anjuran SAMB di Seri Negeri, hari ini.
Idris yang juga Pengerusi SAMB berkata, Melaka antara negeri yang akan diberi perhatian utama dalam merencana sistem ORS kerana ia adalah kaedah baharu yang dipercayai mampu berfungsi sebagai tebatan semasa banjir atau takungan ketika musim kemarau.
Katanya, sistem itu juga berupaya mengurangkan kebergantungan negeri kepada Sungai Muar, Johor sebanyak 160 juta liter sehari kepada 77 juta liter sehari.
"Projek ini adalah bukti komitmen berterasan kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan dan Negeri untuk menjaga kebajikan rakyat di Melaka,"katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==