Agihan BR1M bermula Isnin

KUANTAN: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan peruntukan kira-kira RM6.3 bilion akan diagihkan kepada kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara, bermula Isnin ini.



















Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pengagihan bantuan itu akan dilakukan secara tiga peringkat.
Katanya, majlis pelancaran fasa pertama akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, esok, manakala penerima lain boleh mula menyemak akaun bank masing-masing pada Isnin.
"Pengagihan akan diteruskan seperti sebelum ini, iaitu mereka yang layak akan menerima bantuan dalam tiga peringkat... maknanya, jika mereka layak menerima RM1,200, kita agihkan RM400 dahulu dan bakinya akan dimasukkan ke akaun mereka untuk fasa kedua dan ketiga," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran BAHTERA Edisi Timur 2018 di Dewan Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mendakwa tindakan kerajaan meneruskan BR1M bertujuan tujuan survival politik, Mohd Irwan berkata, tuduhan itu tidak betul kerana tujuan utama kerajaan memperkenalkan BR1M untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat.
"Saya fikir, kita tidak payahlah dengar apa yang dia (Rafizi) kata... kalau nak kira, semua yang kita (kerajaan) buat, tak kena di mata mereka (pembangkang).
"Kita kena ingat bahawa bantuan ini (BR1M) diiktiraf oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)... ini bermakna, apa yang kerajaan buat adalah langkah tepat.
"Kerajaan juga sedang mencari kaedah lebih baik untuk membantu mereka yang menerima bantuan ini (BR1M)... kalau boleh, penerima BR1M mengikuti latihan kemahiran tertentu bagi meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata, perkembangan ekonomi negara juga terus kekal kompetitif dan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan bakal bankrap juga tidak ada asas.
Katanya, ekonomi negara berkembang pada kadar 5.9 peratus tahun lalu dan semua sektor seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan juga berkembang antara enam peratus hingga 6.7 peratus.
"Defisit fiskal juga menunjukkan penurunan sehingga 3.0 peratus dan ini adalah bukti pengurusan kewangan dan ekonomi yang cekap oleh kerajaan," katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==