KADAR dan kaedah perkiraan hibah Tabung Haji (TH) 2017 terus menjadi isu. Pada mulanya rungutan mengenai formula pengiraan hibah yang baharu, namun selepas pengumuman TH bahawa pengiraan hibah 2017 akan terus mengikut pengiraan tahun lalu, timbul pula tuduhan kononnya TH bermain politik, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).
Saya amat sedih dan kecewa membaca tohmahan isu hibah TH ini. Pada pendapat saya, kita lupa tujuan utama menabung di TH untuk mendapatkan 'pulangan' di akhirat menerusi ibadah haji.
Namun, ramai yang lupa mengenainya dan menuntut serta mengharapkan pulangan kewangan yang baik daripada TH setiap tahun, walaupun perkongsian hibah bukanlah sesuatu yang diwajibkan ke atas TH.
TH bantu masyarakat Islam
Banyak dilakukan TH untuk membantu masyarakat Islam, termasuk menanggung beban subsidi besar apabila kos haji meningkat, bagi membolehkan bayaran yang dikenakan jemaah kekal pada jumlah yang sama.
Pelbagai langkah juga diambil bagi memudahkan urusan jemaah haji, menjadikan TH dikenali di seluruh dunia sebagai organisasi pengurusan dana dan jemaah haji terbaik di dunia.
Rakyat sendiri seolah-olah tidak menghargainya, malah terus mengecam dengan pelbagai tuduhan.
Hadiah kepada penabung
Hakikatnya, pengumuman dan pengagihan hibah pada setiap tahun berasaskan prestasi tahunan TH. Hibah ialah hadiah untuk penabung, mengikut budi bicara dan kemampuan kewangan kumpulan TH pada tahun semasa.
Ia bukan pemberian wajib, manakala cara dan amaun hibah ditentukan mengikut kemampuan membayar.
Perlu diambil kira, apabila keuntungan TH bertambah setiap tahun, bilangan pendeposit turut bertambah. Ini bermakna keuntungan dikongsi dengan lebih ramai pendeposit.
Faktor seperti kenaikan kos haji turut memberi kesan dalam pengiraan hibah.
Malangnya, ramai yang mudah terpengaruh dengan mainan sentimen pihak tidak bertanggungjawab membuat kenyataan melulu dan menuduh 'penipuan' di pihak TH. Saya percaya semua ini tindakan yang mengaibkan dan jelas bercanggah dengan tuntutan Islam.
Bagi mengelakkan tohmahan liar berleluasa, wakil TH perlu tampil memberi maklumat kepada pendeposit, berikutan masyarakat semakin prihatin dengan simpanan patuh syariah.
TH satu institusi perlu diberi kepercayaan penuh dalam menjalankan pelaburan patuh syariah, selain hibah yang dikongsi TH sudah termasuk pembayaran zakat.
Tidak salah menegur, malah membawa perhatian umum bagi perkara yang perlu diperbaiki. Namun, jangan pula jauh menyimpang hingga mengaibkan pihak lain.
sumber : bharian