MADRID: Luis Suarez dan Jordi Alba mencetak nama selaku penjaring ketika Barcelona menundukkan Eibar 2-0, awal pagi tadi untuk meneruskan rekod tanpa kalah dan mengukuhkan kedudukan di puncak La Liga.
Lionel Messi menjadi perancang dalam kedua-dua jaringan menentang Eibar yang menamatkan perlawanan di Ipurua dengan 10 pemain selepas Fabian Orellana diarah keluar pada babak kedua.
Perlawanan jelas tidak menyenangkan buat skuad kendalian Ernesto Valverde yang terpaksa beraksi dalam keadaan hujan tetapi Barca meneruskan deretan tanpa kalah kepada 24 perlawanan musim ini untuk keseluruhan 31 perlawanan La Liga tanpa kalah.
Ia menyamai rekod mereka ketika di bawah kendalian Pep Guardiola pada musim 2010/11.
Barca ketika ini mempunyai kelebihan 10 mata di puncak liga tetapi Atletico Madrid boleh mencantas kembali kedudukan itu apabila mereka menanti kunjungan Athletic Bilbao, hari ini.
Fokus Barcelona kini pasti beralih kepada aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge, Rabu ini dengan Valverde berkata Eibar sebagai lawan yang ideal menjelang pertemuan berkenaan.
"Eibar sentiasa meletakkan kamu di bawah tekanan yang amat tinggi, jadi ia adalah ujian yang baik. Kami benar-benar bergelut, kerana mereka berada di prestasi yang baik," kata Valverde.
"Ia perlawanan yang amat sukar seperti yang kami jangkakan, dan kami akan cuba dan memastikan ia membantu kami sekali pun Liga Juara-Juara adalah kejohanan yang berbeza."
Valverde menyenarai barisan terkuat dengan memilih Andres Iniesta dalam kesebelasan utama dan meninggalkan Philippe Coutinho di bangku simpanan sekali pun pemain Brazil itu tidak layak bermain di Liga Juara-Juara.
Coutinho begitupun menggantikan Iniesta pada minit ke-63.
Barca membuka tirai jaringan pada minit ke-16 apabila hantaran baik Messi bijak dibaca Suarez yang kemudian memperdaya penjaga gol Eibar, Marco Dmitrovic yang sekali lagi tertewas pada minit ke-88 menerusi jaringan Alba.
Valencia dalam pada itu mengukuhkan tempat di tangga ketiga liga apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan kelab tercorot, Malaga 2-1 untuk mengekalkan kelebihan empat mata di depan Real Madrid.
Sevilla memanaskan badan bagi aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester United, Khamis ini dengan kemenangan 2-1 ke atas kelab bergelut, Las Palmas.
sumber : bharian