Lofa langgar prinsip Rukun Negara kelima - SRIKANDI

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) meminta orang ramai mengambil iktibar berhubung kontroversi pelancaran hijab oleh Neelofa di sebuah kelab malam kerana ia dikatakan melanggar prinsip Rukun Negara kelima.


























Presidennya, Datuk Norashikin Abdul Ghani, berkata prinsip terbabit, kesopanan dan kesusilaan, semakin dilupakan generasi alaf baharu dengan pelbagai perkembangan semasa yang mendukacitakan.
Katanya, semakin hari semakin ramai yang berani menghalalkan cara walaupun ia menyalahi agama serta menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat.
"Prinsip kesopanan dan kesusilaan itu sewajarnya menjadi amalan hidup rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama sebagai asas keharmonian.
"Bagaimanapun, kini semakin ramai mengeluarkan fatwa sendiri, perlakuan mengikut budaya Barat, penganjuran pesta arak secara terbuka, memasarkan burger babi menggunakan nama orang Islam, penandaan halal sesuka hati serta bermegah mempamerkan kemungkaran di laman sosial.
"Perbuatan sedemikian bukan saja tidak menghormati kesucian agama, malah jelas meminggirkan prinsip Rukun Negara kelima yang diterapkan ke dalam diri ketika sejak awal persekolahan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kenyataan itu, Norashikin turut menyelar alasan bajet oleh tokoh perniagaan itu yang didakwanya sebagai tidak masuk akal kerana banyak pilihan lokasi lebih sesuai untuk mempromosi tudung.
"Seharusnya beliau lebih peka terhadap isu sedemikian sebelum ia mencetus kemarahan orang ramai dan pertelingkahan antara peminat yang tidak sependapat.
"Saya juga berharap beliau memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat negara ini agar ia tidak berulang lagi," katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==