TERKINI: 2 wanita antara 7 pemancing dihanyut arus

SUNGAI BULOH: Dua wanita antara tujuh pemancing dikhuatiri lemas, selepas mereka dihanyutkan arus deras ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Tentera Sungai Buloh di sini, kira-kira jam 5 petang tadi.












Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata pihaknya menerima laporan dibuat dua daripada tiga mangsa yang terselamat dalam kejadian itu
Beliau berkata, dalam laporan itu, kedua-dua lelaki terbabit memaklumkan mereka pergi ke lokasi terbabit bersama isteri masing-masing, sebelum dihanyutkan arus deras Sungai Gasi berikutan air pasang.
"Pada masa sama, seorang lelaki yang turut terselamat memaklumkan dua rakannya yang juga anak beranak, dilaporkan hilang dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.
Somu berkata, berdasarkan maklumat awal, pihaknya dimaklumkan ada beberapa kumpulan pemancing lain turut yang berada di lokasi berkenaan.
"Kami dimaklumkan ada sekumpulan pemancing warga asing juga berada di lokasi berkenaan dan dikhuatiri turut dihanyutkan arus.
"Kerja mencari dan menyelamat dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat dijalankan untuk mengesan mangsa," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ahli keluarga mereka yang keluar memancing di daerah ini namun masih belum pulang ke rumah diminta menghubungi polis untuk membantu mengesan mangsa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.42 petang.
"Seramai 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan Batu Arang dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Laporan awal ada sembilan mangsa sedang memancing di kawasan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras sungai. Dua daripada mangsa sempat menyelamatkan diri, manakala tujuh lagi masih hilang," katanya.
Kes lemas ketika memancing
4 Februari 2017
Muhammad Aril Shahputra Abdullah, 7, lemas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersendirian di tebing Sungai Dedap di Yan, Kedah.
24 Mac 2017
Anggota polis Cawangan Khas Bukit Aman, Noramirul Ashraf Rahma, 27, lemas ketika memancing bersama dua rakannya di Pulau Asam di Kampung Sungai Sekawang, Negeri Sembilan.
9 April 2017
Seorang pemancing lemas selepas terjun ke Sungai Sedili, Kota Tinggi untuk menyelamatkan botnya daripada dihanyutkan arus deras.
5 Jun 2017
Faizal Mokhtar, 47, yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Pahang pada 3 Jun, ditemui terapung di Kampung Pasir Panjang, Bera.
28 Julai 2017
Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Amer Nur Rashid Abdul Rashid, lemas selepas bot memancing dinaikinya bersama sembilan rakan terbalik dalam perjalanan ke Pulau Pasir Putih, Empangan Semenyih kira-kira jam 11 malam.
5 September 2017
Mohamad Rizuan Mohamad Yazid, 18, lemas ketika sedang memancing di sebuah lombong di Kamunting, Perak.
15 November 2017
Muhammad Solehudin Mohd Nasir, 6, dan kakaknya, Ainul Batrisyah, 10, lemas selepas tergelincir ke dalam kolam tadahan air ketika memancing di Kampung Padang Lalang di Bahau, Negeri Sembilan.
18 November 2017
Dua rakan, Muhammad Faliq Fadzil, 26, dan Amirul Asyraff Abdullah, 24, lemas selepas bot yang disewa untuk memancing di Sungai Perak, Lenggong karam terlanggar tunggul kayu.
11 Disember 2017
Lam Yat Seng, 39, ditemui lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di muara Kuala Kedah pada 9 Disember.
14 Disember 2017
Muhammad Fareezuan Anuar, 12, lemas selepas terjatuh ketika memancing di Kampung Sungai Makmur, Plentong, Johor Bahru.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==