LONDON: Willian menyumbat dua gol ketika Chelsea meraih pemanas badan sempurna apabila mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas membelasah Hull City 4-0 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Empat hari sebelum pertemuan getir menentang gergasi Sepanyol, Barcelona bagi perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, bos Chelsea, Antonio Conte merehatkan beberapa tonggaknya seperti Thibaut Courtois, Cesar Azpilicueta, N'Golo Kante dan Eden Hazard.
Empat hari sebelum pertemuan getir menentang gergasi Sepanyol, Barcelona bagi perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, bos Chelsea, Antonio Conte merehatkan beberapa tonggaknya seperti Thibaut Courtois, Cesar Azpilicueta, N'Golo Kante dan Eden Hazard.
Begitupun, skuad yang diturunkan pengendali dari Itali itu jelas tetap terlalu kuat buat kelab yang bergelut di Liga Kejuaraan itu yang menyaksikan Pedro Rodriguez dan Olivier Giroud turut mencetak nama selaku penjaring.
Secara keseluruhan, Conte membuat tujuh perubahan berbanding skuad yang tewas 3-0 kepada West Brom, Isnin lalu yang sekali gus meningkatkan spekulasi mengenai jawatannya.
Cabaran menanti Chelsea selepas ini lebih sukar dalam memburu kegemilangan di pentas Eropah selain untuk mengesahkan tempat di kedudukan empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kunjungan Barca ke Stamford Bridge, Rabu ini diikuti dengan dua kunjungan ke kelab Manchester, United dan City dalam kempen EPL sebelum mereka membuat kunjungan timbal balik ke Nou Camp pada 14 Mac.
Dan Willian jelas tidak mahu namanya tersisih bagi aksi menentang gergasi Catalan itu dengan persembahan yang meyakinkan.
Pemain Brazil itu membuka tirai jaringan seawal minit kedua sebelum menjadi perancang kepada jaringan Pedro yang menggandakan kelebihan pada minit ke-27.
Willian kemudian membuktikan dia mampu menjaringkan gol dengan kedua-dua belah kakinya apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-32 yang juga gol ke-10 miliknya musim ini.
Ia diikuti jaringan bekas penyerang Arsenal, Giroud pada minit ke-42 yang juga gol pertamanya buat Chelsea selepas berpindah ke Stamford Bridge pada musim sejuk lalu.
sumber : bharian