Tak suka, jangan tengok - Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Ramai orang tahu, aktor kacak, Fattah Amin dan isterinya, Nur Fazura tidak kekok mempamerkan kemesraan baik di khalayak ramai mahupun melalui perkongsian pada laman sosial.











Lumrah manusia, dalam memuji, tidak kurang juga yang mengecam setiap kali pasangan sama cantik dan sama padan ini menunjukkan sisi romantik mereka.
Bertanya Fattah mengenai perkara itu, aktor tinggi lampai ini mengaku terkilan dengan mentaliti segelintir pihak yang cenderung meninggalkan komen negatif hanya disebabkan meluat melihat kemesraan dirinya dan Fazura.
"Saya tidak faham dengan sesetengah pihak yang menghina dan mengutuk tapi masih mahu melihat gambar atau video kami. Mudah saja sebenarnya, jika tidak suka, mengapa membazirkan masa untuk tengok?
"Seperti yang sering saya tegaskan sebelum ini, berdoalah dan cakap saja yang baik-baik.
"Atau lebih baik berdiam diri daripada terus meninggalkan komen yang mampu mengguris hati mana-mana pihak," katanya kepada BH Online.
Tidak cukup itu, Fattah turut menjadi mangsa persepsi negatif yang mendakwa kariernya semakin 'suram' selepas mendirikan rumah tangga.
"Ini saya tidak dapat komen... Bagi saya, semua ini terletak pada ketentuan Allah.
"Rezeki terbahagi kepada pelbagai cara, mungkin ia diberi dalam cabang berbeza," katanya.
Dalam perkembangan terkini, sebagai persediaan masa depan, Fattah mengusahakan produk makanan gantian, MRP Diet By Fattah Amin yang mula dipasarkan sejak enam bulan lalu.
Fattah berkata, masalah obesiti dan kurangnya keprihatinan masyarakat terhadap soal kesihatan, mendorong dirinya mengusahakan produk terbabit selain mahu mengajak peminat mengamalkan gaya hidup sihat.
"Saya berniaga bukan kerana mahu memperlahankan kegiatan seni. Kalau boleh, biarlah kedua-dua bidang ini seimbang," katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==