`Saya tertunggu-tunggu BR1M setiap tahun'

IPOH: Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana menunaikan pelbagai janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum lalu.


















Kerani sebuah syarikat swasta, Ahmad Salim Hamid, 35, berkata tidak ada negara dalam dunia ini yang boleh membantu rakyat seperti apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN.
"Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal menjelma. Kita harus buat pilihan dengan baik siapa yang boleh mengetuai negara dan memastikan kebajikan rakyat dijaga.
"Sejak peningkatan taraf ekonomi yang tinggi, kerajaan telah mengambil inisiatif ini untuk mengurangkan beban rakyat seperti saya.
"Terima kasih Datuk Seri Najib dan BN kerana bermurah hati. Saya harap pada masa akan datang, bantuan ini akan diteruskan," katanya yang menerima wang berjumlah RM450, hari ini.
Rahimah Ghazali, 56, dari Kampung Tawas Tambahan yang bekerja sebagai pembantu restoran, juga sependapat.
Katanya, bantuan itu akan digunakan untuk membeli peralatan sekolah tiga anaknya.
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mewujudkan bantuan ini. Mungkin jumlah bantuan ini kecil bagi orang lain, tetapi pada saya ia amat besar.
"Bantuan ini menunjukkan kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat mengenai kos taraf hidup yang tinggi.
"Bantuan seperti ini amat ditunggu-tunggu setiap tahun. Saya hanya bekerja di restora,n manakala suami bekerja sebagai penjual ikan. Kami tidak mempunyai pendapatan yang tetap," katanya.
Pada perasmian BR1M peringkat kebangsaan di Pahang semalam, Najib berkata BN menepati hampir semua janji dibuatnya kepada seluruh rakyat, apabila sudah mengotakan 97.6 peratus daripada kandungan manifesto yang dibentangkan pada PRU-13.
Tambahnya, antara janji ditepati BN adalah menaikkan BR1M daripada RM500 kepada RM1,200 secara berperingkat, yang sudah dinikmati rakyat berkelayakan sejak tahun lalu.
Penerima boleh mula menyemak akaun bank masing-masing, hari ini dan bantuan akan diagihkan dalam tiga fasa, iaitu bulan ini, Jun serta Ogos.
Penerima berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan mendapat bantuan berjumlah RM1,200, penerima isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 (RM900), serta penerima individu berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah (RM450).
BR1M diperkenalkan kerajaan sejak 2012 untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan merapatkan jurang pendapatan di Malaysia.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==