Jangan pilih kerajaan yang belum diuji dan teruji - Najib

SHAH ALAM: Perdana Menteri meminta komuniti perniagaan dan perdagangan di negara ini tidak mengambil risiko dan cuba untuk memilih kerajaan atau gabungan yang belum pernah diuji dan teruji.























Datuk Seri Najib Razak, berkata, ia berikutan apa saja benda yang belum pernah diuji dan teruji adalah satu risiko yang amat besar.
"Saya yakin, kita tidak mahu mengambil risiko dengan masa depan kita. Satu perkara yang ahli perniagaan tidak boleh lakukan ialah untuk sesuatu berlaku kepada negara ini.
"Anda tidak boleh mengambil risiko dan cuba memilih kerajaan atau gabungan yang belum pernah diuji dan teruji.
"Kami (Kerajaan Barisan Nasional) adalah kerajaan yang sudah berulang kali diuji dan teruji. Sudah tentu kami akan lakukan yang lebih baik.
"Saya tidak kata semuanya sempurna, kami juga menghadapi cabaran tetapi saya boleh yakinkan anda bahawa kami akan lakukan yang lebih baik di masa hadapan.
"Apa yang kami harapkan adalah untuk anda fikirkan dengan teliti mengenai masa depan kita kerana ia kelihatan cerah dan baik," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 komuniti perniagaan dan perdagangan Cina Malaysia pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, malam ini.
Yang turut hadir Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden GERAKAN dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian dan Presiden ACCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan mempunyai banyak perancangan untuk masa depan negara ini dan beliau mahu komuniti perniagaan dan perdagangan di Malaysia yakin dan percaya dengan pentadbirannya terutama apabila tiba masanya.
"Saya beri keyakinan bahawa rakan saya dalam kerajaan dan saya sendiri akan melaksanakannya. Kami akan mengubah Malaysia dan membawa negara ini ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Terdahulu, Najib berkata, pentadbirannya sentiasa mementingkan kestabilan sosial dalam negara ini, namun mereka juga mahu mengubah Malaysia ke arah sebuah ekonomi yang lebih maju.
Katanya, sejak 2009, Malaysia sudah berjaya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Malah, katanya, tahun lalu Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang melangkaui jangkaan iaitu sebanyak 5.9 peratus.
"Bank Dunia memperbaharui unjurannya untuk Malaysia sebanyak tiga kali.
"Saya memberi jaminan bahawa kami mempunyai keupayaan dan komitmen. Kami sudah membuktikan bahawa kami mampu menyiapkan projek MRT 1 lebih awal pada RM2 bilion kurang daripada bajet asal.
"Kami mampu menyiapkan projek besar lain, jadi kerajaan sudah diuji dan berjaya melaksanakannya," katanya.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==