MEXICO CITY: Sekumpulan pakar arkeologi yang menerokai kawasan gua dalam air di sini menemui rangka manusia berusia lebih 9,000 tahun dan fosil haiwan, dipercayai wujud pada penghujung Zaman Ais.
Sekumpulan penyelam baru-baru ini berjaya menghubungkan dua gua dalam air di timur Mexico, dipercayai gua dalam air terbesar di dunia, satu penemuan yang memberi petunjuk baru kegemilangan tamadun Maya.
Semenanjung Yucatan sehingga kini dipenuhi tinggalan tamadun Maya, termasuk jaringan lubang yang menghubungkan perairan subterranean.
Kumpulan penyelidik sebelum ini menemui sistem gua sepanjang 347 kilometer dikenali sebagai Sac Actun berhampiran kawasan peranginan tepi pantai Tulum dengan 140 tapak arkeologi itu disahkan sebagai milik tamadun Maya.
Kementerian Kebudayaan Mexico dalam satu kenyataan berkata, turut ditemui ialah fosil sloth gergasi, gajah primitif dan beruang dari zaman Pleistosin.
Penyelidik Institut Antropologi dan Sejarah Nasional Mexico (INAH), Guillermo de Anda berkata, ia adalah penemuan menakjubkan yang juga tapak arkeologi dalam air terpenting di dunia.
Pleistosin iaitu fasa akhir Zaman Batu bermula 2.6 juta tahun lalu dan berakhir kira-kira 11,700 tahun lalu. - Reuters
sumber : bharian