Penjawat awam calon BN di Perak

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak sudah mengenal pasti beberapa pegawai kerajaan yang berpotensi untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).




















Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata mereka akan menjadi calon BN untuk kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mendapat kelulusan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita sudah ada beberapa nama yang sedang diperhalusi. Kita tidak nafikan calon daripada penjawat awam.
"Pendekatan kita ialah mengambil segala potensi yang ada kerana kita bukan sahaja berpolitik tetapi juga mahukan calon yang berpengalaman mengurus kerajaan," katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas program Santai Bersama Penjawat Awam Daerah Kinta sempena program pemukiman Menteri Besar di Tanjung Rambutan, dekat sini, hari ini.
Zambry yang juga Menteri Besar Perak bagaimanapun tidak mendedahkan nama pegawai awam terbabit.
Begitu pun, desas-desus ketika ini kuat mengatakan antara pegawai awam terbabit adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Untuk rekod, nama Abdul Puhat yang ketika itu menjadi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pernah disebut-sebut sebagai calon BN pada PRU-13.
Zambry berkata, berdasarkan sejarah, BN menyenaraikan calon daripada pelbagai latar belakang, termasuk penjawat awam, golongan profesional, muda dan wanita untuk dipilih pengundi.
Sementara itu, Zambry menyatakan tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang yang terus 'menyerang' beliau dengan pelbagai tohmahan.
Beliau berkata, pendekatan BN negeri ialah mendepani isu terbabit menerusi sesi penerangan dan penjelasan kepada rakyat mengenai kedudukan perkara sebenar terhadap segala tohmahan dilemparkan kepadanya.
"Apa yang paling penting ialah melihat isu berkenaan dalam konteks propaganda dan isu politik yang mereka (pembangkang) mainkan.
"Lagi banyak mereka buat tohmahan, lagi banyak kesilapan mereka lakukan, yang kemudian akan diherdik oleh rakyat," katanya.
Terdahulu, ketika merasmikan Karnival Mahabbah Institusi Agama Islam Negeri Perak sempena program pemukiman Menteri Besar di daerah Kinta di Masjid An-Nur Batu 8, Ulu Kinta, dekat sini, Zambry meminta umat Islam supaya terus menyebarkan mesej berkasih sayang dan bersatu padu.
Katanya, usaha itu perlu diteruskan kerana masih ada umat Islam yang mengamalkan pendekatan mencerca, mengaibkan serta memfitnah semata-mata kerana perbezaan ideologi politik.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==