MCA atur strategi menangi PRU-14

KUALA LUMPUR: MCA sudah mengatur strategi bagi mempertahankan dan menambah jumlah kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang.












Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata strategi itu termasuk meningkatkan jumlah undi di beberapa kerusi panas yang disandang pemimpin parti berkenaan.
Katanya, MCA bukan seperti parti pembangkang yang kehadiran mereka ibarat bidan terjun.
"Kita bukan ada strategi hari ini sahaja, sebaliknya sudah mengatur strategi sejak bertahun lalu. Kita melakukan apa yang patut dilakukan dan kita sudah mengerah tenaga terutama penyandang jawatan.
"Sebagai contoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh di Johor yang menang dengan majoriti tipis, beliau sudah menjalankan tugas dengan baik. Saya yakin ini akan dirasai oleh rakyat dan saya yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Ahli Parlimen Sembrong," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kerusi panas Presidennya, Ka Siong berkata beliau yakin Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah melakukan yang terbaik di Parlimen Bentong dari segi pembangunan dan infrastruktur.
"Saya yakin Datuk Seri Liow Tiong Lai sudah buat banyak di Bentong sehinggakan orang Bentong pun merasainya sejak lima tahun lalu. Biarlah rakyat yang menilai dan bagi mereka yang tidak tinggal di Bentong, mereka boleh mengambil kesempatan pada musim perayaan ini pulang ke Bentong untuk melihat sendiri pencapaian Presiden MCA di kawasan berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap MCA akan terus mendapat sokongan tidak berbelah bahagi rakyat dan menjadi aspirasi serta berazam supaya sokongan rakyat diterjemahkan dalam bentuk undi pada pilihan raya umum akan datang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), MCA memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN.

sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==