Pemuda PH serah memo desak ROS cepatkan siasatan

PUTRAJAYA: Empat sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini menyerahkan memorandum mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mempercepatkan kelulusan pendaftaran PH dan siasatan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).




















Memorandum berkenaan diserahkan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan ROS, Mohd Rejab Ramli, kira-kira jam 2.30 petang di ibu pejabat ROS di sini. Turut hadir, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh.
Terdahulu, lebih 50 ahli Pemuda mewakili empat parti dalam PH yang diketuai Syed Saddiq dan Wong berhimpun di luar perkarangan Kompleks D di Presint 1, di sini, bagi menyerahkan memorandum berkenaan.
Mereka pada mulanya berkumpul di hadapan balai pengawal Kompleks D kira-kira jam 2 petang sambil memegang poster memaparkan gesaan supaya ROS lebih telus dan berintegriti serta mempercepatkan siasatan terhadap isu berbangkit.
Syed Saddiq, ketika ditemui media berkata beliau bersama wakil sayap Pemuda PH bersepakat mendesak ROS mempercepatkan kelulusan pendaftaran PH secara rasmi supaya mereka dapat 'bertarung' dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Tegas beliau, pihaknya tidak ingin bergaduh dengan ROS, sebaliknya mahu mencari titik pertemuan supaya isu kelulusan PH dapat dipercepatkan, manakala isu PPBM pula disiasat segera.
"Saya rasa tidak adil untuk ROS mendengar keluhan satu pihak sahaja tanpa mendengar penjelasan daripada pucuk pimpinan PPBM. "Biarpun aduan yang dikemukakan itu sah, ROS perlu panggil wakil PPBM untuk sesi rundingan," katanya.
Katanya, beliau mahu ROS mengadakan rundingan secepat mungkin bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan segera.
Sementara itu, Wong berkata walaupun isu PPBM masih dalam siasatan ROS, pihaknya tidak mahu ia dijadikan alasan oleh ROS untuk melengah-lengahkan pendaftaran PH secara rasmi.
"Kita harap ROS boleh mempercepatkan kelulusan permohonan pendaftaran PH memandangkan sebelum ini segala permintaan ROS sudah dipenuhi termasuk meminda logo PH.
"Kami berjaya meminda logo berkenaan dalam masa yang singkat. Justeru, tiada alasan lain bagi ROS untuk melengahkan permohonan ini," katanya.



sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==