Polis menumpaskan Geng Shahrul Kabel yang aktif mencuri kabel telefon Telekom Malaysia Berhad (TM)

PASIR PUTEH: Polis menumpaskan Geng Shahrul Kabel yang aktif mencuri kabel telefon Telekom Malaysia Berhad (TM) selepas menahan empat lelaki di tiga lokasi di sini, Khamis lalu.











Empat lelaki berusia 23 hingga 35 tahun termasuk ketua mereka yang dikenali sebagai Shahrul, ditahan dalam serbuan antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang di Kampung Kubang Sawa, Sungai Durian dan Bendang di Bukit Abal di sini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abd Rozak Mohamad, berkata dalam serbuan pertama di Kampung Kubang Sawa, polis menahan suspek berusia 23 tahun yang juga adik kepada Shahrul.
Susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi suspek termasuk Shahrul, 35.
Polis turut merampas selaras senapang angin, sebuah telefon bimbit, satu tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah, beberapa guni kabel yang siap dipotong milik TM, dua kereta dan sebuah motosikal.
"Modus operandi sindiket adalah menggunakan dua kenderaan untuk menarik kabel keluar dari tanah.
"Siasatan awal mendapati suspek utama sanggup menggunakan senapang angin untuk menakutkan sesiapa yang cuba mengganggu kegiatan mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, hari ini.
Semua suspek yang memiliki rekod jenayah lampau, ditahan reman empat hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (1960), Seksyen 4 (A) (a) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1) (a) ADB 1952, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 291 Akta Kesalahan Kecil.


sumber : bharian

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==