KUALA TERENGGANU: "Tok akan bertanding selagi hayat masih ada," kata bekas calon bebas Pilihan Raya Umum Ke-13, Maimun Yusof atau Tok Mun, 99.
Bagaimanapun katanya, beliau akan bertanding sekiranya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkannya menggunakan simbol istana serta ada pihak yang bersedia menyediakan kewangan.
"Masa tok bertanding dulu, tok guna duit simpanan tok sendiri untuk tujuan kempen termasuk deposit sebanyak RM10,000.
"Tapi sekarang ni tok tak ada duit sendiri dan kalau ada yang sudi bayar (biaya), tok akan bertanding dengan syarat SPR luluskan permohonan tok nak guna simbol istana.
"Kalau guna simbol lain tak ada guna tok bertanding kerana simbol istana itu adalah amanah orang dulu-dulu yang meminta tok menggunakan simbol itu bagi memperjuangkan nasib orang Melayu Islam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Tol di sini.
Tok Mun mendakwa, beliau mampu menang PRU sekiranya menggunakan simbol istana.
"Pemerintahan sekarang sudah jauh lari daripada landasan kerana orang Melayu sekarang hanya berada di hadapan sahaja sedangkan belakang mereka adalah bangsa lain dan bukan Islam.
"Tok hanya akan menang kalau guna simbol tu (istana). Dua kali tok bertanding guna simbol lain, tok kalah, buat rugi je," katanya.
Tok Mun yang masih mempunyai kekuatan deria pendengaran dan penglihatan yang baik berkata, biarpun wang simpanannya sudah banyak habis, beliau tidak serik selagi perjuangannya mahu membentuk pemimpin melayu Islam tidak tercapai.
"Kalau tok menang, sama ada orang nak ikut atau tak mboh (tidak mahu) ikut itu terpulang kepada mereka, janji tok dah sampaikan amanah tu," katanya.
Ketika ditanya berkenaan sebuah PERODUA Kancil di halaman rumahnya, Tok Mun berkata, kenderaan itu adalah miliknya yang dibeli bagi memudahkan bergerak.
"Tok tak reti nak bawak (memandu), kalau tok nak ke mana-mana tok mintak tolong kawan bawak (memandu), tok bagilah sikit pitih (duit) kat dia," katanya.
Calon bebas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-12, 2008 itu dianggap berjaya "mengalih undi" tokoh PAS ketika itu, Mohamad Sabu.
Pada PRU-12, Tok Mun menentang Mohamad Sabu dan calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Razali Ismail dan beliau hilang wang pertaruhan selepas memperolehi undi hanya sebanyak 685 undi.
Razali memenangi PRU-12 apabila memperoleh sebanyak 32,562 undi, manakala Mohamad meraih 31,934 undi.
Pada PRU-13, Tok Mun yang hanya berkempen dengan menaiki basikal tanpa bantuan jentera kempen untuk meraih undi sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila hanya sekadar meraih sebanyak 182 undi.
Ketika itu, kerusi parlimen Kuala Terengganu dimenangi calon PAS, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini memimpin Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu.
sumber : bharian