'Baby' Ney Ney viral sekelip mata

KUALA LUMPUR: Beberapa jam selepas dilahirkan pagi semalam, wajah comel bayi Nora Danish pantas dikongsi netizen dalam media sosial sebaik suami aktres jelita itu, Nedim Nazri memuat naik foto putera yang diberi nama Mohamed Neqayl Nazri Aziz itu.































Dalam sepantas kilat, foto Mohamed Neqayl atau dipanggil 'Ney Ney' menjadi viral hingga ramai membangkitkan persoalan apakah wajar pasangan ini berkongsi wajah permata hati mereka dalam tempoh singkat selepas dilahirkan.
Selain menatap wajah Ney Ney yang masih merah, netizen juga dapat melihat rupa Nora yang baru melahirkan bayi secara pembedahan di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Sebelum ini, ramai pasangan selebriti memilih tidak berkongsi foto anak yang baru dilahirkan hingga tempoh tertentu atas alasan privasi dan pantang larang.
Menemui Nora di hospital, pelakon yang mula dikenali menerusi sitkom Puteri itu memberitahu BH Online, dia dan suami mengambil pendekatan terbuka dalam soal itu.
"Saya dan suami memang 'sempoi' sebab tidak mengambil masa lama hendak tayang wajah anak kami. Lagipun, saya sendiri, selepas dua tiga hari bersalin, pasti akan kongsi foto anak ini.
"Saya percaya setiap orang ada cara sendiri dalam hal ini," katanya yang ceria menyambut kelahiran putera keduanya itu.
Berkongsi saat kelahiran Ney Ney, Nora memberitahu, semuanya dipermudahkan.
"Saya tak lama pun dalam dewan pembedahan. Tak sampai sejam.
"Cuma sebelum ini, ketika melahirkan Putra Rayqal, prosesnya normal. Jadi, saya rasa dua pengalaman berbeza. Rayqal pun sudah lama mahukan adik, akhirnya saya dapat penuhi impiannya.
"Biarpun saya dan suami sudah ada anak lelaki dari perkahwinan terdahulu, keterujaan kali ini sangat berbeza ," katanya.
Nedim yang ditemui pula memanjat kesyukuran di atas kelahiran Ney Ney.
"Saya paling gembira... Sukar diluahkan dengan kata-kata. Ia nikmat yang sangat indah. Memang saya tak tidur semalam, tapi semua itu berbaloi apabila melihat anak dan isteri selamat," kata Nedim.
Ney Ney dilahirkan secara pembedahan jam 9.02 pagi semalam dengan berat 3 kilogram.
Pasangan ini berkahwin pada Mac tahun lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, masing-masing dikurniakan seorang anak lelaki.


sumber : bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==